Pengurusan bilik darjah hendaklah sistematik
BILIK darjah adalah medan perjuangan utama kepada kerjaya guru. Di sini, warga pendidikan menunjukkan kebolehan dan keupayaan melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran.
Oleh itu, bilik darjah yang terurus dengan baik, selesa, ceria dan menarik menjadi idaman guru kerana ia membolehkan pelajar mengikuti pengajaran dengan mudah dan berkesan. Guru biasanya, berhadapan dengan tiga cabaran ketika berada di bilik darjah iaitu menangani karenah sejumlah pelajar yang ramai bilangannya, memastikan matlamat pengajarannya tercapai selain hambatan masa yang terhad.
Selain itu, guru juga perlu sentiasa menyesuaikan bentuk pengajarannya dengan pelajar yang berbeza minat dan tahap kebolehan mereka. Mereka tidak boleh terlalu banyak memberi tumpuan kepada pelajar yang lemah dan sederhana saja sehingga mengabaikan pelajar yang cerdas.
Begitu juga sebaliknya, tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pelajar yang cerdas sehingga pelajar lain terabai.


