Guru SABK diserap dalam perkhidmatan kerajaan

December 29, 2008

guru

KUALA LUMPUR: Guru yang bertugas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sudah diperuntukkan jawatan secara hakiki sekaligus diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata sekolah yang berdaftar sebagai SABK pula berpeluang menerima guru Kementerian Pelajaran yang terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi.

“Guru-guru ini juga akan diberi gaji yang bersesuaian dengan kelayakan mereka, diberi peluang kenaikan pangkat, berpeluang menikmati segala kemudahan sebagai penjawat awam, serta berpeluang untuk mengikuti kursus di dalam dan di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata tumpuan kepada soal perjawatan dan latihan guru itu merupakan sebahagian langkah bagi merealisasikan program pendaftaran SABK yang diperkenalkan pada 2005 untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di bawah Kementerian Pelajaran dari pelbagai aspek termasuk proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Katanya murid di SABK pula berpeluang mendapat pelbagai bantuan seperti biasiswa, makanan serta buku teks selain bersaing dengan murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada yang berbentuk kurikulum atau kokurikulum, dan jika berkelayakan, akan diberi peluang mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat pendidikan berteraskan Islam terus dimantapkan dan diperkasa di negara ini, kementerian akan terus berusaha gigih bagi memastikan SABK dapat berkembang menjadi institusi sekolah yang cemerlang dan mampu memberi pendidikan agama yang sempurna kepada generasi muda negara,” katanya.

Hishammuddin berkata sehingga hari ini, jumlah SAR dan SAN yang berdaftar sebagai SABK ialah 154 manakala 101 sekolah agama lagi masih di peringkat perbincangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman.

Beliau berkata pada 23 Disember lalu, Kementerian Pelajaran telah dimaklumkan mengenai hasrat Jabatan Agama Islam Johor untuk mendaftar sejumlah 27 sekolah agama sebagai SABK iaitu 15 SAR, 3 SAN, satu Maahad Johor dan lapan Sekolah Rendah Arab Bersepadu.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran juga akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan SABK menerima manfaat penuh dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM200 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk memantapkan Sekolah Bantuan Kerajaan daripada peruntukan keseluruhan pakej ransangan ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diumumkan pada 4 November lalu. – Bernama


Guru harus bincang martabatkan profesion

December 18, 2008

mainpix1

GOLONGAN pendidik disaran sering bertemu untuk berbincang mengenai usaha memartabatkan profesion diceburi, sekali gus melahirkan pelajar cemerlang yang bakal menjadi penggerak negara pada masa depan, kata Timbalan Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Katanya, dalam perkembangan mutakhir pendidikan negara, semua pihak perlu mengambil bahagian secara bijaksana untuk berhadapan dengan berbagai cabaran masa kini.

“Kita perlu melahirkan guru negara dan bukannya guru di sekolah dalam sistem pendidikan di negara ini,” katanya pada majlis perasmian Seminar Kebangsaan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru 2008 di Langkawi, baru-baru ini.

Noor Rezan berkata, kepekaan golongan pendidik dalam meningkatkan profesionalisme, inovasi kurikulum dan kemudahan prasarana pendidikan sentiasa diberi keutamaan.

“Ia merangkumi persekitaran kerja, kebajikan guru dan penambahbaikan perkhidmatan,” katanya.

Sebanyak 102 kertas kerja dibentang pada seminar empat hari yang disertai 140 peserta dari seluruh negara.

Antara pembentang termasuk Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Aminah Ayob dengan tajuk Masa Depan Pendidikan Guru, dan Pengarah Multimedia Development Corporation, Dr Norrizan Razali (Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan)

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Seminar, Dr Ruzlan Md Ali, berkata seminar itu diharap menjadi landasan guru sekolah rendah, menengah atau institusi pengajian tinggi awam berkumpul untuk memartabatkan profesion perguruan.


Pengurusan Bilik Darjah Untuk Pengajaran Berkesan

November 13, 2008

pengurusan-1Pengurusan bilik darjah hendaklah sistematik

BILIK darjah adalah medan perjuangan utama kepada kerjaya guru. Di sini, warga pendidikan menunjukkan kebolehan dan keupayaan melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu, bilik darjah yang terurus dengan baik, selesa, ceria dan menarik menjadi idaman guru kerana ia membolehkan pelajar mengikuti pengajaran dengan mudah dan berkesan. Guru biasanya, berhadapan dengan tiga cabaran ketika berada di bilik darjah iaitu menangani karenah sejumlah pelajar yang ramai bilangannya, memastikan matlamat pengajarannya tercapai selain hambatan masa yang terhad.

Selain itu, guru juga perlu sentiasa menyesuaikan bentuk pengajarannya dengan pelajar yang berbeza minat dan tahap kebolehan mereka. Mereka tidak boleh terlalu banyak memberi tumpuan kepada pelajar yang lemah dan sederhana saja sehingga mengabaikan pelajar yang cerdas.

Begitu juga sebaliknya, tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pelajar yang cerdas sehingga pelajar lain terabai.

Guru perlu bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku di luar dugaan seperti kerosakan alat bantu mengajar, gangguan bekalan elektrik atau cuaca yang tidak menentu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.